Beliau dilahirkan pada tahun 583 Masihi dan berasal daripada Bani Adi Nama sebenarnya ialah Umar bin Al-Khattab bin Naufal, berketurunan Quraisy. Beliau seorang yang sangat berani, tegas dan berterus terang. Pelantikkannya telah dicadangkan oleh Abu Bakar As-Siddiq, iaitu pada ketika Khalifah Abu Bakar sedang sakit. Cadangan tersebut dipersetujui oleh para sahabat dan orang ramai.Pemerintahan Khalifah Umar(634-644 Masihi) dianggap sebagai Zaman Keemasan Kerajaan Islam di Madinah.
Dalam bidang politik, beliau telah memperkenalkan dasar pentadbiran dan perlantikan pegawai. Majlis Syura yang dianggotai oleh wakil golongan Muhajirin dan Ansar telah ditubuhkan. Jajahan takhluk Islam telah dibahagikan kepada beberapa wilayah dan wali atau gabenor telah dilantik untuk mentadbir wilayah tersebut.
Dalam pentadbiran pula, beliau telah menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Polis, Jabatan Percukaian dan Jabatan Perbendaharaan Negara. Setiap jabatan diketuai oleh seorang katib atau setiusaha. Jabatan Kehakiman telah dipisahkan daripada jabatan lain. Bagi mengelakkan salah laku oleh hakim, mereka diberikan gaji yang tinggi.
Dalam pendidikan pula, beliau telah mengembangkan pengajaran Al-Quran dengan menyediakan tempat pembelajaran di kawasan masjid. Guru-guru agama dihantar ke pelbagai wilayah untuk mengembangkan ilmu agama. Sebagai contoh, Abu Sufyan telah dihantar untuk mengajar orang Badwi di kawasan pedalaman.
Sistem ketenteraan juga telah disusun dengan membentuk tentera tetap dan tentera sukarela. Tentera tetap diberikan gaji dan pakaian seragam. Markas tentera dibina di bandar utama manakala kubu pertahanan didirikan di sempadan yang menghadap negara musuh seperti di Madinah, Kufah, Fustat dan Basrah.
Untuk memantapkan ekonomi, beliau mengarahkan terusan dan tali air dibina untuk menambahkan hasil pertanian. Empangan Abu Musa di Basrah dan Terusan Amirul Mukminin sepanjang 111 kilometer di Mesir telah dibina sewaktu pemerintahan Khalifah Umar. Rakyat digalakkan meneroka tanah baru untuk pertanian serta mengusahakan tanah terbiar.
Cukai Jizyah dikenakan terhadap golongan zimmi. Golongan zimmi ialah golongan bukan Islam yang memilih untuk mengekalkan agama asal mereka tetapi rela hidup dibawah pemerintahan Islam. Cukai Kharaj pula dikenakan berdasarkan jenis tanaman dan kesuburan tanah.
Contohnya:
Jenis Tanaman | Kadar cukai |
Barli | 2 Dirham |
Anggur | 10 Dirham |
Bagi mengawal aliran masuk pendapatan negara melalui sistem Jizyah dan Kharaj, Baitulmal didirikan oleh Khalifah Umar.
Dalam bidang kebajikan pula, beliau ialah khalifah pertama yang menyediakan sara hidup kepada keluarga Rasullulah S.A.W seperti bekas isteri-isteri, anak-anak, cucu-cucu baginda dan ahli keluarga baginda mengikut kategori yang ditetapkan. Beliau juga menyediakan sara hidup kepada tentera-tentera yang bersara dan janda-janda tentera Islam yang mati syahid dalam perang Badar. Selain itu, beliau juga membantu dan menyediakan sara hidup kepada orang cacat anggota, mendirikan rumah-rumah persinggahan bagi kemudahan musafir dan pendatang-pendatang asing yang baru tiba serta membentuk pasukan petugas di kampung-kampung bagi menjamin keselamatan mereka semua.
Kalendar Islam juga turut diperkenalkan dengan menjadikan tahun Hijrah sebagai titik permulaan pengiraan tahun menurut Islam. Kejayaan dan sumbangan Khalifah Umar dan besar ini menyebabkan beliau digelar Amirul Mukminin atau Panglima Agung Mukmin.
No comments:
Post a Comment