Friday, February 4, 2011

Pemerintahan Islam pada zaman Khulafa Al-Rasyidin

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a (11-13 Hijrah/632-634 Masihi)

            Beliau dilahirkan pada tahun 573 Masihi dan dari keturunan Bani Tamim. Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abu Quhafah. Beliau digelar As-Siddiq (yang membenarkan) kerana beliau sentiasa membenarkan kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. Beliau seorang yang ikhlas, jujur dan setia kepada baginda. Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, orang Ansar bercadang untuk melantik Saad bin Ubadah sebagai pemimpin untuk menggantikan baginda. Setelah hal itu diketahui oleh golongan Muhajirin, suatu pertemuan untuk membincangkan perkara tersebut diadakan oleh kedua-dua pihak. Berdasarkan cadangan Saidina Umar, mereka bersetuju melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah kerajaan Islam Madinah (632-634). Beliau juga digelar sebagai Penyelamat Umat Islam
            Semasa mentadbir kerajaan Islam Madinah, beliau berjaya mengatasi masalah perpecahan masyarakat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Punca perpecahan masyarakat Islam pada ketika itu ialah:
1)      Orang Islam yang murtad 
2)      Gerakan golongan Al- Riddah yang menyalah-gunakan ayat Al-Quran hingga tidak mahu membayar zakat.

Beliau telah bertindak tegas terhadap mereka yang terbabit. . Beliau menjadi sumber tauladan   kepada  masyarakat  pada masa itu. Beliau berjaya mempertahankan Madinah daripada musuh luar , iaitu:                                                                                                                                        

a)      Kerajaan Parsi di sebelah timur
b)      Kerajaan Rom Timur (Byzantine) di sebelah barat

Beliau telah menghantar panglima perang, Khalid Bin Al-Walid, menentang angkatan tentera Parsi di Iraq dan Usamah bin Zaid ke Ghassan.

            Beliau membahagikan Tanah Arab kepada sepuluh wilayah iaitu al-Jund, Bahrin, Hadramaut, Jarsh, Khalwan, Makkah, Nijran, Taif, Yaman dan Zabid. Seorang ketua atau amir akan dilantik oleh beliau untuk mentadbir wilayah tersebut. Beliau juga adalah pemimpin pertama yang membayar gaji tentera melalui hasil rampasan perang serta memperkenalkan undang-undang tanah dan hak rakyat terutamanya berkaitan dengan golongan Mawali.

            Beliau jugalah yang menghimpunkan Al-Quran. Sewaktu menentang golongan Al-Riddah, banyak hafiz Al-Quran meninggal dunia. Keadaan tersebut telah mendorong beliau memerintahkan Zaid bin Thabit mengumpulkan tulisan ayat Al-Quran pada batu, kulit binatang, kayu dan tulang untuk disalin semula. Salinan itu disimpan oleh beliau sendiri dan kemudian disimpan oleh Saidina Umar, Saiditina Hafsah dan Saidina Uthman bin Affan.


No comments:

Post a Comment